Showing posts with label Kisah benar ... Show all posts
Showing posts with label Kisah benar ... Show all posts

Tuesday, July 19, 2011

Kisah saudara kita :)

Assalamualaikum :)


Diceritakan satu kisah di sini, kalau tak keberatan, baca lah yer..



(Cat Stevens – Yusof Islam)
Cat Stevens yang bertukar menjadi Yusof Islam, masuk Islam kerana sebuah buku “Terjemahan Al-Qur’an”, yang diterjemahkan oleh A. Yusof Ali.
Abang Cat Stevens adalah seorang paderi yang cukup kuat Kristiannya. Tiba-tiba abangnya masuk Islam. Pada mulanya Cat Stevens terkejut, dia terfikir bagaimanakah seorang paderi boleh masuk Islam. Akhirnya dia menyimpulkan bahawa abangnya jenis orang gila, sekejap kuat agama Kristian, kemudian menjadi penganut agama Islam pula.
Cats Stevens terus menjalani hidupnya sebagai seorang penyanyi, sibuk dengan pertunjukan pentas sana sini. Pada satu hari, ketika hari jadinya, abangnya yang telah masuk Islam datang ke rumahnya ketika Cat Stevens sedang mengadakan parti hari jadinya. Abangnya mengucapkan selamat hari jadi dan terus menghadiahkan satu bungkusan dan berkata “Benda ini benda suci, tolong letakkan di tempat suci dan jangan kamu hina.” Dia pun ambil dan letakkannya di meja bilik tidurnya.
Setelah habis pesta hari jadinya ketika dia mahu tidur, dia teringat dengan bungkusan yang diberikan oleh abangnya. Apabila dia buka bungkusan tersebut, itulah pertama kali dia terlihat sebuah buku dengan perkataan di kulitnya THE HOLY QU’RAN (Kitab Suci Al-Qur’an). Apabila dia melihat sahaja kitab itu dia terasa sesuatu yang ganjil dalam hatinya.
“Aku buka buku dan aku cuba baca maknanya yang terdapat dalam Bahasa Inggeris, dari satu perkataan ke satu perkataan, dari satu ayat ke satu ayat, aku baca! Baca! Baca! Aku terasa satu macam dalam diriku. Aku tak tahu bagaimana nak gambarkannya tetapi aku memang rasa satu macam. Bermula dari situ, ke mana saja aku pergi, baik ke pertunjukkan pentas atau latihan muzik atau ke mana saja, aku bawa buku itu, aku bawa dalam beg pakaianku. Apabila selesai pertunjukkan pentas, balik ke hotel aku akan sambung baca. Begitulah dari semasa ke semasa.”
Akhirnya Cat Stevens memasuki agama Islam dan menjadi penganut agama yang begitu taat sehingga dia menjadi pendakwah Islam pula sehingga sekarang ini. Namanya Cat Stevens juga ditukar kepada Yusof Islam.
Begitulah keadaannya apabila seseorang itu memahami Islam sebelum masuk Islam. Dia memahami setiap seelok-belok dan hukum Islam serta hati sanubarinya benar-benar yakin dengan Islam, barulah dia masuk Islam. Apabila sudah yakin, imannya tidak bergoyang.

Subhanallah! Memang indah al-quran itu..kalam Allah! macammana orang bukan Islam boleh nampak indahnya al-quran itu, sedang kita sendiri, orang islam segelintirnya BUTA HATI!!


p/s : banyak lagi kisah-kisah saudara baru kita yang baru memeluk Islam boleg dibaca..belilah buku "Akhirnya kutemui cintaMu...lalu aku pun memeluk Islam" produksi Al-Islam, cuma RM12.90..available di pasaran sekarang! *mode : promoter..

Friday, April 29, 2011

Berprasangka baiklah!!

Assalamualaikum WBT..dan selawat serta salam buat nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW..Apa khabar semuanya? Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan untuk terus mencari dan meneroka ilmu Allah yang luas..maka, bersyukurlah!


Ilmu saya pun bukanlah tinggi mana..mlh, sgt lah kurang..cetek sekali ilmu di dada ini..tapi, tak salahkan bila kita berkongsi ilmu? malah, itulah yang dianjurkan dalam Islam..


Istilah Husnuzzon, ialah istilah Arab yang bermaksud "bersangka baik"..baiklah..apa-apa pun yang berlaku, sebaiknya, kita janganlah terus ada -ve thinking pasal satu-satu benda tu (sori, ayat pun xberapa nak tertib sgt, otak sedikit pusing harini)..kenapa? lebih tepat, jangan kita membuat andaian yang bersifat membabi buta! bagaimana sifat membabi buta ini? seumpama anda menuduh atau membuat spekulasi awal, tanpa sebarang analisis yang teliti..sebabnya, kita mungkin akan mengaibkan atau menuduh sesorang yang tidak bersalah..


Bukan susah nak bersangka baik ni! tapi, manusia sendiri yang bikin ini benda susah! sebenarnya, ada cerita di sebalik tajuk post ini..ceritanya begini! panjang laa~ pendekkan!!


*cerita ini diceduk dari pengalaman seorang hamba Allah (diceritakan di sini setelah mendapat keizinannya);)


Mengisahkan si ayah yang banyak melakukan kesalahan pada keluarganya..si ayah ini sangatlah menyayangi isteri dan anak-anaknya..namun, entah di mana silapnya, semakin hari, semakin hilang komunikasi antara si ayah dan si ibu! mungkin disebabkan si ayah seorang penganggur, dan si ibu sering meleteri si ayah ini sehingga akhirnya membawa kepada berdiam diri antara satu sama lain..namun, hubungan si ayah dengan anak-anak nya tetap mesra..KASIH AYAH SELAMANYA! anak-anak pada mulanya tidak mengetahui krisis yang terjadi antara si ibu dan si ayah..hingga suatu ketika, si ayah dan si ibu merasakan perpisahan sebagai jalan penyelesaian terbaik..maka, anak-anak diberitahu tentang hal ini..hati anak mana yang tidak meruntun kesedihan bila mengetahui, rumahtangga keluarga bakal musnah, dan berpecah-belah? maka, anak-anak cuba memujuk kedua orang tuannya, untuk kembali bersama..namun, itulah kata takdir, jodoh si ayah dan si ibu tidak berkekalan, maka jatuhlah talak..anak-anak menangis tidak berlagu! namun, si anak, bahagia kerana si ayah meninggalkan keluarga dengan sikap yang lebih baik dan bertanggungjawab, setelah si anak memesan kepada si ayah demi kebaikan si ayah! punca perpisahan juga mengaitkan orang ketiga..saban hari, anak-anak bersedih kerana tiada lagi melihat raut wajah kesayangan si ayah! namun, air dicincang tidak akan putus..si ayah dan anak-anak saling menghubungi melalui telefon..sehingga suatu hari, si ayah memberitahu sudah mempunyai keluarga baru tidak lama selepas itu! si anak tidak tahu apakah perasaannya! sedih + bahagia mungkin..sedih kerana ayahnya bakal dikongsi oleh orang lain..bahagia kerana ayahnya mempunyai kehidupan sendiri..si ayah dikurniakan 2 lagi anak bersama isteri barunya..si ayah kelihatan sangat bahagia..si anak tetap menjaga hubungan dengan si syah, namun tidak seakrab dulu..si anak menaruh perasangka buruk mengatakan si ayah tidak lagi menyanyanginya seperti dulu! si anak mula membenci dan menjauhkan diri dari si ayah..hati si ayah sedih bukan kepalang! anak-anak yang disayang menghindar darinya..padahal, kasih sayangnya sama rata pada semua anak-anak nya..namun, si anak nekad untuk terus menghilangkan diri dari si ayah..egonya diletak di tempat tertinggi! enggan dia memaafkan si ayah..walaupun, si ayah tidak bersalah dalam soal ini..ini hanya takdir yang menentukan mereka tidak mungkin bersama lagi..si anak terus membenci dan melempar kata-kata tidak sopan terhadap si ayah..hati ayah terguris tidak diketahui! bagi si anak, si ayah lebih mengutamakna keluarga barunya..padahal, si ayah mengunakan kudrat tuanya untuk mencari rezeki buat semua anaknya..mencari nafkah! hingga suatu hari, si ayah menghantar sms ke hp si anak berbunyi (lebih kurang) "abah mintak maaf atas semua kesalahan abah dulu! abah sayang anak abah! abah sentiasa mendoakan kesejahteraan anak abah!" ..membaca msg itu, tertumpah air mata dan ego si anak! lantas, kemaafan diberi dan berjanji tidak akan menaruh prasangka buruk lagi! 


Ini baru kisah kekeluargaan..cuba tengok sekeliling kita..saya rasa banyak sgt isu prasangka buruk ni, dalam kehidupan seharian kita..kan? *renung-renungkan dan selamat beramal


~SEMOGA KITA SENTIASA MENDAPAT RAHMAT DARI NYA~


Waallahualam~

Sunday, April 10, 2011

Masyaallah! hebat nya al-Quran!

RM9,000 untuk ubah Surah al-Ikhlas
 
Iklan yang terpampang dalam sebuah akhbar harian itu cukup menggiurkan sesiapa saja yang membacanya. “Kerja kosong – eksekutif pemasaran. Maksimum gaji boleh mencecah RM2 ribu hingga RM4 ribu. Lepasan ijazah. Untuk BUMIPUTERA sahaja.”
 
Selesai membaca iklan terebut, Mat Nor terus menghubungi syarikat berkenaan. Tanpa disangka, wakil syarikat memberitahu dia antara calon paling bertuah dan diminta hadir untuk ditemu duga keesukan harinya.
 
Esoknya, Mat Nor pergi ke tempat temu duga tersebut di sebuah hotel yang terletak tidak berapa jauh dari rumahnya di utara tanah air. Sampai di hotel. Mat Nor diminta kesebuah bilik di tingkat dua hotel tersebut. Dalam bilik tersebut, Mat Nor melihat ada sebelas lagi calon menunggu. Lalu Mat Nor duduk di salah sebuah kerusi di bahagian belakang.Kira kira 15 minit kemudian, muncul seorang lelaki bernama Patrick memegang beberapa helai borang dan mengedarkan kepada setiap calon termasuk Mat Nor. Patrick lalu meminta Mat Nor dan calon calon lain mengisi borang tersebut.
 
Ketika menjawab beberapa soalan pada borang tersebut, Mat Nor berasa pelik dengan 10 soalan  yang ditanya. Antara soalan itu, adakah boleh membaca al-Quran, bersembanyang dan beberapa perkara asas tentang agama Islam. Soalan tersebut langsung tidak ada kena mengena dengan jawatan eksekutif pemasaran yang dipohon Mat Nor.  Walaupun berasa pelik tetapi semua soalan tersebut dijawab dan ditandakan. Berdasarkan penjelasan Patrick, barulah Mat Nor faham bahawa rupa rupanya tawaran kerja itu datang dari sebuah pergerakan berbentuk keagamaan! Tetapi bukan agama islam.
 
Patrick turut memberi peluang Mat Nor dan calon calon berfikir selama 15 minit sama ada mahu menerima tawaran tersebut atau menolaknya. Patrick memberitahu, jika ada sesiapa yang ingin menarik diri dibenarkan meninggalakan bilik tersebut. Sebelum beredar, Patrick menghulur RM50 setiap seorang.
 
“Ini duit sedekah,” beritahu Patrick.
 
Selepas menerima wang tersebut,  Mat Nor dan 11 calon lain diarah berkumpul  semula dihadapan pintu bilik tersebut. Mereka dikehendaki masuk semula selepas waktu rehat.
 
Selepas waktu rehat, keadaan berubah. Hanya Mat Nor dan tiga orang calon lelaki sahaja yang sanggup menerima jawatan tersebut.  Manakala lapan calon lagi enggan menerima tawaran tersebut. Alasannya, mereka tidak yakin dengan keterangan Patrick.  Sebelum pulang, mereka berempat diberikan RM200 setiap seorang. Patrick berpesan agar Mat Nor  Datang semula ke hotel tersebut tepat pada waktunya, pukul 10.00 pagi.
 
Esok, tepat waktu yang dijanjikan, Mat Nor tiba di kawasan hotel tersebut.  Empat kereta BMW berwarna hitam sudah menunggu. Mat Nor dipelawa masuk ke salah sebuah kereta tersebut.  Di hotel tersebut, seorang lelaki memberitahu dia diarahkan membawa Mat Nor menaiki kereta BMW ke Kuala Lumpur.  Kereta BMW yang dinaiki Mat Nor tiba di sebuah rumah ibadat di Kuala Lumpur. Mat Nor berasa pelik, mengapa pula dia dihantar ke rumah ibadat itu dengan jawatannya sebagai eksekutif pemasaran?
 
Sebaik turun, muncul seorang lelaki Melayu berjubah hitam menyambut kedatangannya.
 
“Salam sejahtera ke atas kamu,” sapa lelaki Melayu memakai jubah hitam itu.  Namanya Joseph. Berdasarkan penampilannya, Joseph orang kanan di rumah ibadat itu.  Semasa berjalan, Joseph menyelitkan sekeping sampul surat berwarna putih ke dalam kocek baju Mat Nor.
 
Mereka berdua masuk ke sebuah bangunan bersebelahan rumah ibadat tersebut. Sebaik sampai disebuah bilik, Joseph memberitahu di situlah Mat Nor akan tinggal sehingga tugasnya selesai.  Sebelum beredar, Joseph menerangkan Mat Nor boleh mandi dan bersolat di bilik tersebut. Pukul 2.30 nanti, dia akan datang semula.
 
Sebaik Joseph beredar, Mat Nor membuka sampul surat berwarna putih yang diberikan lelaki berjubah hitam itu. RM200!  Bisik Mat Nor.
 
Fikirannya bertambah keliru. Semalam di sebuah hotel Mat Nor sudah di beri RM200 oleh lelaki bernama Patrick.  Dan sekarang RM200 lagi. Dicampurkan RM50 semasa mula mula interviu, Mat Nor sudah ada RM450. Wang sudah dapat tapi anehnya tiada sebarang kerja dilakukan lagi. 
 
Tepat pukul  2.30 petang, pintu bilik Mat Nor diketuk. Joseph muncul di muka pintu. “Salam sejahtera ke atas kamu!” ucap Joseph sambil mengajaknya ke sebuah dewan. Dalam dewan tersebut, ada kira kira 20 orang lelaki berbaju labuh berwarna hitam. Di situ Joseph memberi penerangan tentang tugas yang bakal dilakukannya.
 
Bedasarkan penerangan Joseph, tugas Mat Nor bukan lagi eksekutif pemasaran tetapi sebagai penterjemah. Pada akhir penerangan, Joseph memberitahu Mat Nor dan tiga lagi calun dikehendaki menterjemahkan sebuah kitab agama daripada bahasa Indonesia ke bahasa Melayu.  Tetapi sebelum itu kata Joseph, ada tugas lain yang perlu dilakukan. Joseph lalu mengeluarkan sehelai kertas bertulis ayat ayat suci al-Quran di dalam jubah hitam  lalu membacanya.
 
“Kul Huallah Hu Ahad ….” Joseph membaca surah tersebut dengan fasih dan berlagu seperti seorang qari.  Bilik itu sepi seketika. Masing masing terpegun mendengarkan suara Joseph membaca surah al-Ikhlas.
 
“sekarang saya nak kamu ubahsuai surah al-Ikhlas ni.  Masukkan ayat tu dalam kitab ni,” beritahu Joseph menunjukkan sebuah kitab agama berbahasa Indonesia.  Sekali lagi, Mat Nor berasa serba salah. Kalau menolak tugas tersebut, dia mesti memulangkan semula wang RM450 yang diterimanya sebelum itu. Mahu tidak mahu, dia terpaksa lakukan juga tugas berat ini.
 
Tanpa berlengah, Mat Nor cuba menterjemahkan ayat  daripada surah al-Ikhlas seperti diminta Joseph. Sesi itu berlangsung hampir lima jam lamanya.  Beratus ratus ayat dikarang tetapi semuanya tidak menjadi.
 
“Ayat ini kalau dimasukkan juga ia akan bercanggah dengan akidah agama kamu yang menyatakan bahawa Tuhan itu lebih dari satu,” jelas Mat Nor. 
 
Joseph terdiam tanpa sepatah kata.  Kemudian dia menambah: “Tak mengapa. Cuba lagi. Nanti saya akan beritahu kepada ketu saya tentang perkara ini!”
 
Setelah percubaan pertama menterjemahkan surah al-Ikhlas itu gagal. Joseph menyuruh mereka berehat dulu dan menyambung kembali tugas tersebut esuk.  Sebelum bersurai, Joseph memberi sekeping lagi sampul surat berwarna putih. Apabila dibuka terdapat wang berjumlah, RM300 di dalamnya.
 
Malam itu Mat Nor tidak boleh tidur. Fikirannya masih lagi teringat pada tugasnya menterjemahkan surat al-Ikhlas pada siang tadi. Dia berasa hairan sudah beberapa kali dia mengikut kehendak Joseph, mencuba menterjemahkan ayat dari surah al-Iklas  tetapi gagal. Jika ditukar mana mana ayat sekalipun, ia tetap tidak boleh mengubah makna asal surah berkenaan.
 
Keesokannya, Mat Nor menyambung lagi tugasnya bersama tiga rakan rakan lain menterjemahkan surah al-Ikhlas.  Sesi menterjemah dan mengubah surah al-Ikhlas pada hari kedua juga gagal mendapat seberang keputusan muktamad.  Masing masing buntu. Tiada perkataan yang boleh digunakan untuk disesuaikan dengan ayat ayat di dalam kitab agama tersebut.
 
Hari berikutnya Mat Nor mencuba lagi tetapi tidak berjaya. Begitulah yang terjadi sehingga tugas itu berlangsung selama tiga minggu. Puas Mat Nor dan kawan kawan memikirkan cara untuk mengubahsuai surah al-Ikhlas tetapi sia sia.
 
Ayat yang diubah  itu tetap bercanggah dengan akidah tauhid agama orang kanan rumah ibadat itu.  Ini kerana secara keseluruhan ayat surah al-Ikhlas itu menegaskan bahawa Tuhan itu Esa, tidak sama dengan akidah orang kanan yang berjubah itu.  Setelah gagal mencuba pelbagai cara, Mat Nor mengesyorkan kepada orang kanan rumah ibadat  itu supaya mengubah keseluruhan surah tersebut.
 
“Kalau nak ubah, kena ubah semua!” beritahu Mat Nor.
 
“Okey, saya akan beritahu orang atas.  Tangguh dulu ubahsuai surah itu.  Tumpu terjemah kitab dari bahasa Indonesia ke bahasa Malaysia,” beritahu orang kanan rumah ibadat itu.
 
Kira kira setengah jam kemudian, orang kanan rumah ibadat itu kembali ke bilik tersebut.
 
“sesi untuk hari ini dah tamat. Semua boleh balik. Mat Nor, tugas awak pun dah habis. Lusa awak boleh balik,” beritahu orang kanan rumah ibadat itu.
 
Mat Nor lega mendengar pengumumam tersebut. Dia balik ke biliknya. Sekarang segala beban yang tertanggung di kepalanya selama ini sudah terlerai.  Sambil duduk di katilnya, Mat Nor mengeluarkan sampul sampul surat berwarna putih yang diterimanya sejak tiga minggu lalu. Dia mengira jumlah wang tersebut. RM4,650!
 
Tiba tiba Mat Nor mendengar biliknya diketuk.  Apabila pintu terbuka, dilihatnya Joseph sedang berdiri di depan pintu sambil tersenyum.  Joseph mengajak Mat Nor ke sebuah bilk kosong. Di situ, Joseph memaklumkan usaha mengubahsuai surah al-Ikhlas dihentkan serta merta.
 
“Program ini dihentikan atas arahan ketua paling atas,” beritahu Joseph.
 
Joseph turut memberi amaran agar jangan sesekali menceritakan perkara ini kepada orang lain.
 
“Ini rahsia besar. Tolong jangan hebahkan pada sesiapa,” tegas Joseph kepada Mat Nor.
 
Mat Nor  sudah mengagak dari awal, uasaha mengubah surah itu tidak akan berjaya. Kini dia bertambah yakin, memang ayat al-Quran tidak boleh diubahsuai dan keasliannya akan terpelihara sepanjang masa.  Sebelum balik ke kampungnya dia utara tanah air,  Mat Nor dipanggil sekali lagi oleh Joseph.
 
“Terima kasih kerana membantu kami. Inilah sedekah kami kepada kamu. Ambillah duit ini beberapa banyak yang Mat Nor nak”!  beritahu Joseph sambil menunjukkan sebuah kotak kecil yang penuh tersusun kepingan not RM50.
 
“Ambillah, jangan malu malu …..” pelawa Joseph.
 
Mat Nor teragak agak untuk mengambil wang tersebut tetapi setelah didesak beberapa kali, akhirnya dia mengalah. Tanpa melihat ke dalam kotak itu, Mat Nor mengambil secekak wang secara rambang.
 
“Cukup?” tanya Joseph.
 
Mat Nor mengangguk. Selepas itu dia dihantar pulang ke utara  dengan BMW yang sama semasa dibawa ke Kuala Lumpur, tiga minggu lalu. 
 
Sampai  dirumah, Mat Nor mengira duit yang diterimanya termasuk wang yang diambil dari kotak bersama Joseph, keseluruhannya sebanyak RM9,000! Itulah upah yang diterima untuk ubahsuai surah tersebut. Persoalannya mengapa mereka beria ia mahu mengubahsuai surah berkenaan?
 
“Saya pun tak tahu apa motif mereka sebenarnya. Bayangkan bilik saya menginap tu serba lengkap. Ada hawa dingin, tv, radio, katil, bilik mandi, almari, sejadah dan sebuah meja.  Di atas meja itu ada beberapa buah buku agama seperti fekah, tauhid, termasuk senaskah al-Quran. Semuanya baru. Siapa ada penunjuk arah kiblat lagi!
 
“Bila saya buka almari ada sepasang baju Melayu biru. Mulanya saya sangka baju tu milik orang lain yang pernah tinggal di bilik tu tapi rupa rupanya itu memang baju Melayu yang dibuat khas untuk saya. Bila saya pakai, muat muat aja.
 
“Begitu juga dengan sepasang kasut hitam di kaki almari. Bila saya cuba kasut  itu memang kena dengan saiz kaki saya. Tapi saya pelik juga, macamana mereka boleh tahu ukuran badan dan kaki saya dengan tepat, sedangkan saya tak pernah bagi ukuran badan mahupun saiz kasut kepada mereka. Bagaimana mereka tahu!” tanya Mat Nor.
 
Mat Nor memberitahu, selepas seminggu pulang ke rumah, pergerakannya sentiasa diekori dan dipantau orang orang dari rumah ibadat itu.  Setiap hari, ada sebuah kereta putih jenis proton akan parkir di tepi jalan tidak jauh dari rumahnya.  Apabila Mat Nor keluar ke bandar, dia juga terserempak dengan kereta yang sama. Apa tujuan mereka?
 
Sehingga hari ini Mat Nor masih tertanya tanya apakah masih wujud kegiatan seperti yang dialaminya 15 tahun yang lalu …….
 
MASTIKA Februari 2007 m/s 98 - 102

Friday, April 8, 2011

Di mana DIA di hatimu?


Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."
Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.
Ketika di ambang maut?
Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"
Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."
Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.
Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"
"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."
"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.
Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.
Ketika kamu tiada jawatan?
Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.
Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.
Lalu, di mana Dia dihati kita?
Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?
Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?
ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!
Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);
"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."
Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?
Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?
Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?
Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?
Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.
Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri
Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"
Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."
Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.
Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"
Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."
Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.
Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.
Dan kita akan terus mengemis kasih...

Thursday, April 7, 2011

Kisah mereka yang memilih Islam! ;)


Ikuti Kisah-kisah pengislaman Dr. Gary Miller (Pakar Matematik Kanada), Aminah Assilmi (Bekas Kristian dan Aktivis Pembebasan Wanita), Idris Tawfiq(Bekas Paderi), Estanislao Soria (Bekas Paderi), Michael Wolfe (Dari Keluarga Kristian-Yahudi Amerika), Rosalyn Rushbrook (Berijazah Dalam Teologi Kristian London)…. Saya percaya masih ramai yang belum membaca atau mengetahuinya.
Dr. Gary Miller
(Tokoh Ilmu Teologi Kristian Dari Kanada, Pakar Matematik)
Dr. Gary Miller (Abdul Ahad Omar) berasal daripada Kanada. Beliau merupakan seorang pakar matematik yang mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian. Pada tahun 1978 beliau dihadiahkan al-Quran dan selepas membacanya beliau mula menyedari tentang kepincangan Bible dan kebenaran al-Quran.
Beliau terus memeluk agama Islam dan merupakan seorang pendakwah Muslim yang komited hinggalah ke hari ini. Antara tulisan beliau yg menarik ialah yang bertajuk “The Amazing Quran” (Quran Yang Mengagumkan). Dalam tulisan ini beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidakmungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifik.
Antara tulisannya ialah, “Seperkara yang mengejutkan golongan yang bukan Islam selepas mereka mengkaji al-Quran ialah, ia tidak seperti apa yang mereka jangkakan. Bagi mereka, al-Quran ialah sebuah kitab tua yang datang dari padang pasir Arab dan berumur lebih kurang 14 abad.
Justeru mereka menjangkakan, isi-isinya pasti juga tua lagi kuno seperti umurnya. Sebahagian daripada mereka pula menjangkakan, oleh kerana ia datang dari padang pasir, ia pasti banyak bercerita tentang padang pasir. Tiba-tiba mereka menyedari bahawa ia tidak seperti itu….
Al-Quran boleh dikaji secara saintifik kerana ia mengutarakan sesuatu yang tidak diutarakan oleh kitab-kitab agama lain secara amnya. Malah al-Quran mampu menyahut cabaran ahli-ahli sains. Konsep sains pada hari ini ialah satu konsep yang memerlukan bukti.
Jika seseorang mengutarakan sesuatu teori, pakar-pakar sains tidak akan mempedulikannya melainkan jika ia disertakan dengan bukti dan sanggup melalui beberapa ujian yang saintifik. Al-Quran sebenarnya sanggup diperlakukan seperti itu untuk membuktikan bahawa ia adalah benar.
Seribu empat ratus tahun sudah berlalu dan tidak ada sesiapa pun yang mampu membuktikan kepalsuan al-Quran, justeru al-Quran adalah sebuah kitab yang hak lagi benar”.
Rujukan: http://www.islamicity.com/science/theamazingquran.shtml
Aminah Assilmi
(Bekas Kristian Protestan Amerika, Aktivis Pembebasan Wanita Radikal)
Aminah as-Silmi ialah seorang bekas Kristian Protestan dari kumpulan Gereja Southern Baptist. Beliau juga merupakan seorang aktivis dari kumpulan pembebasan wanita yang radikal dan pernah bertugas sebagai seorang wartawan penyiaran. Beliau merupakan seorang pelajar yang pintar dan mendapat pelbagai anugerah kecemerlangan ketika berada di sekolah. Ketika di kolej beliau terpaksa belajar dengan wanita-wanita Arab yang rata-ratanya memakai tudung. Beliau menganggap mereka sebagai “golongan yang menjijikkan.” Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk berdakwah kpd mereka agar mereka menganut agama Kristian.
Untuk tujuan itu beliau telah mengkaji Islam dengan mengkaji al-Quran, Sahih Muslim dan 15 buku yang lain. Kajian terhadap Islam ini berterusan selama 2 tahun dan akhirnya persepsinya terhadap Islam telah berubah. Ketika itu barulah beliau menyedari betapa Islam merupakan agama yang amat memuliakan wanita. Pada tanggal 21 Mei 1977, beliau mengucap dua kalimah syahadah.
Selepas memeluk Islam beliau berpakaian menutup aurat dan tindakan itu menyebabkan beliau kehilangan kerjayanya sebagai seorang wartawan penyiaran di Denver. Malah mahkamah memutuskan beliau dipisahkan daripada anak-anaknya disebabkan keislamannya. Akhirnya, dengan izin Allah, anak-anaknya, ibu bapanya dan bekas suaminya memeluk Islam…
Rujukan: http://www.texnews.com/religion97/muslim110197.html
Idris Tawfiq
(Bekas Paderi Roman Katolik UK)
Idris Tawfiq ialah seorang bekas paderi Katolik (Roman Catholic). Beliau memperoleh ijazah dalam bahasa Inggeris dan Sastera daripada Universiti Manchester, dan dalam bidang Teologi (Sacred Theology) atau Ilmu Ketuhanan daripada Pontifical University of Saint Thomas Aquinas di Rom.
Sebelum memeluk Islam beliau berpandangan Islam ialah satu agama kolot yang merendahkan martabat wanita, mementingkan keganasan dan mengajak umatnya agar mengebom diri untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Ketika beliau bercuti di Mesir selama seminggu beliau mula menyedari bahawa umat Islam secara umumnya tidak seperti yang dipaparkan dalam media massa di Barat.
Apakah perbezaan yang besar antara agama Kristian Katolik dan Islam? Beliau menjawab, “Asas bagi agama Islam ialah Allah. Kesemua perkara adalah berpaksikan Allah… Ia tidak menjadikan, sebagai contoh, Nabi Isa sebagai paksi. Seperkara yang lain ialah, Islam merupakan satu agama yang komprehensif.
Ia bukan satu agama yang menekankan ibadah pada hari-hari tertentu (contohnya hari Ahad) sahaja. Sebaliknya, Islam mengajar umatnya tentang cara untuk menyapa orang lain, adab-adab makan minum, adab-adab memasuki bilik, malah tentang setiap perkara.”
Rujukan: http://www.idristawfiq.com
Estanislao Soria
(Bekas Paderi Roman Katolik Filipina)
Estanislao Soria ialah seorang paderi Kristian dari mazhab Katolik (Roman Catholic) yang berasal dari Filipina. Beliau mendapat pendidikan dan memperoleh ijazah dari Xavier University dan Loyola School of Theology, Ateneo de Manila University. Ketika pemimpin Islam Moro, Nur Misuari, bercadang untuk menjadikan Mindanao sebuah negara Islam terpisah daripada Filipina, Estanislao Soria menentang cadangan itu.
Beliau (yang lebih dikenali di Filipina sebagai ‘Father Stan’) berazam membuktikan penentangan beliau itu secara ilmiah. Justeru beliau telah membuat kajian yang mendalam dalam bidang sosiologi dan sejarah Filipina untuk membuktikan bahawa cadangan Nur Misuari adalah tidak berasas sama sekali. Di samping itu beliau berasa perlu untuk berdakwah kepada orang-orang Islam bertujuan untuk membawa mereka kepada Kristian. Untuk mencapai tujuan ini buku-buku tentang Islam telah beliau baca dan kaji.
Akhirnya sesuatu yang mengejutkan telah berlaku, iaitu, selepas beliau mengkaji Islam beliau menyedari bahawa Islamlah agama yang sebenarnya dan seterusnya memeluk agama Islam pada tahun 2001. Beliau mendapati banyak pandangan yang diutarakan oleh tokoh-tokoh Kristian seperti Thomas Aquinas adalah berasaskan ajaran Islam.
Beliau berkata, “Kajian saya menyedarkan saya bahawa tamadun Barat sebenarnya berkembang kesan daripada ajaran Islam… Saya juga menyedari bahawa Gospel mengikut Barnabas adalah lebih sahih (credible) jika dibandingkan dengan keempat-empat Gospel yang terdapat dalam Bible sekarang (iaitu Gospel mengikut Mark, Matthew, Luke dan John).” (Gospel mengikut Barnabas menceritakan dengan jelas tentang pengutusan nabi Muhammad selepas nabi Isa).
Rujukan: http://www.islamonline.net/english/Journey/2005/11/jour01.shtml
Michael Wolfe
(Dari Keluarga Kristian-Yahudi Amerika, Wartawan)
Michael Wolfe berasal daripada Amerika. Ibunya ialah seorang Kristian dan bapanya seorang Yahudi. Justeru berlatarbelakangkan itu beliau berkesempatan mengenali agama Yahudi dan Kristian namun kedua-dua agama itu tidak menarik perhatiannya. Agama Yahudi, baginya, amat menekankan tentang kaum yang terpilih (iaitu golongan Yahudi), dan pandangan ini tidak dapat beliau terima. Agama Kristian pula diselimuti pelbagai misteri.
Beliau menegaskan, “Agama kebenaran yang saya cari mestilah satu agama yang tidak mengabaikan aspek metafizik dan sains. Ia bukannya satu agama yang sempit yang susah untuk difahami. Agama itu tidak memerlukan manusia perantara seperti paderi. Ia tidak menentang perkara tabii seperti seks. Dalam agama itu perlu ada ritual atau amalan harian agar dengan itu kesedaran diri dapat dipertajam dan minda dapat disiplinkan.
Yang paling penting, saya perlukan kejelasan dan kebebasan dalam beragama kerana saya tidak mahu membuang akal fikiran untuk digantikan dengan dogma atau kepercayaan secara membuta tuli… Dan semakin saya mengkaji Islam semakin saya menyedari bahawa inilah agama yang saya cari.”…. Antara buku yang beliau karang ialah ‘The Hajj: An American’s Pilgrimage to Mecca’ dan ‘One Thousand Roads to Mecca: Ten Centuries of Travelers Writing About the Muslim Pilgrimage’. Beliau mendapat Anugerah Wilbur 2003 kerana buku agama terbaik yang dihasilkan.
Rujukan:http://www.islamonline.net/English/artculture/2002/12/article09.shtml
Rosalyn Rushbrook
(Berijazah Dalam Teologi Kristian, Penulis Dari London)
Ruqaiyyah Waris Maqsood dilahirkan pada tahun 1942 di kota London, UK. Nama asalnya ialah Rosalyn Rushbrook. Beliau dibesarkan sebagai seorang Kristian dan memperoleh ijazah dalam bidang Teologi Kristian daripada Universiti Hull pada tahun 1963. Pengetahuan beliau yang mendalam dalam ilmu Kristian merangsang beliau untuk menulis beberapa buah buku tentang agama itu. Antara buku yang ditulis beliau ialah ‘In the Steps of Jesus’, ‘Jesus of Nazareth’, ‘Does God Have a Body?’ dan ‘The Trouble with God’.
Namun pengetahuannya yang mendalam tentang Kristian juga menyedarkan beliau tentang kesesatan agama Kristian terutamanya yang berkaitan dengan konsep triniti. Akhirnya beliau memeluk Islam pada tahun 1986. Pada hari ini beliau berjaya menghasilkan pelbagai buku tentang Islam dan pada tahun 2001 beliau dianugerahkan Anugerah Iqbal kerana sumbangannya.
Rujukan: http://www.welcome-back.org/profile/maqsood.shtml
Mereka telah memilih Islam setelah mengkaji al-Quran. Bagaimana dengan kita semua yang sudah Islam? Adakah kita mengkaji dan membuat rujukan dengannya? Renung-renungkanlah….