Sunday, April 10, 2011

Masyaallah! hebat nya al-Quran!

RM9,000 untuk ubah Surah al-Ikhlas
 
Iklan yang terpampang dalam sebuah akhbar harian itu cukup menggiurkan sesiapa saja yang membacanya. “Kerja kosong – eksekutif pemasaran. Maksimum gaji boleh mencecah RM2 ribu hingga RM4 ribu. Lepasan ijazah. Untuk BUMIPUTERA sahaja.”
 
Selesai membaca iklan terebut, Mat Nor terus menghubungi syarikat berkenaan. Tanpa disangka, wakil syarikat memberitahu dia antara calon paling bertuah dan diminta hadir untuk ditemu duga keesukan harinya.
 
Esoknya, Mat Nor pergi ke tempat temu duga tersebut di sebuah hotel yang terletak tidak berapa jauh dari rumahnya di utara tanah air. Sampai di hotel. Mat Nor diminta kesebuah bilik di tingkat dua hotel tersebut. Dalam bilik tersebut, Mat Nor melihat ada sebelas lagi calon menunggu. Lalu Mat Nor duduk di salah sebuah kerusi di bahagian belakang.Kira kira 15 minit kemudian, muncul seorang lelaki bernama Patrick memegang beberapa helai borang dan mengedarkan kepada setiap calon termasuk Mat Nor. Patrick lalu meminta Mat Nor dan calon calon lain mengisi borang tersebut.
 
Ketika menjawab beberapa soalan pada borang tersebut, Mat Nor berasa pelik dengan 10 soalan  yang ditanya. Antara soalan itu, adakah boleh membaca al-Quran, bersembanyang dan beberapa perkara asas tentang agama Islam. Soalan tersebut langsung tidak ada kena mengena dengan jawatan eksekutif pemasaran yang dipohon Mat Nor.  Walaupun berasa pelik tetapi semua soalan tersebut dijawab dan ditandakan. Berdasarkan penjelasan Patrick, barulah Mat Nor faham bahawa rupa rupanya tawaran kerja itu datang dari sebuah pergerakan berbentuk keagamaan! Tetapi bukan agama islam.
 
Patrick turut memberi peluang Mat Nor dan calon calon berfikir selama 15 minit sama ada mahu menerima tawaran tersebut atau menolaknya. Patrick memberitahu, jika ada sesiapa yang ingin menarik diri dibenarkan meninggalakan bilik tersebut. Sebelum beredar, Patrick menghulur RM50 setiap seorang.
 
“Ini duit sedekah,” beritahu Patrick.
 
Selepas menerima wang tersebut,  Mat Nor dan 11 calon lain diarah berkumpul  semula dihadapan pintu bilik tersebut. Mereka dikehendaki masuk semula selepas waktu rehat.
 
Selepas waktu rehat, keadaan berubah. Hanya Mat Nor dan tiga orang calon lelaki sahaja yang sanggup menerima jawatan tersebut.  Manakala lapan calon lagi enggan menerima tawaran tersebut. Alasannya, mereka tidak yakin dengan keterangan Patrick.  Sebelum pulang, mereka berempat diberikan RM200 setiap seorang. Patrick berpesan agar Mat Nor  Datang semula ke hotel tersebut tepat pada waktunya, pukul 10.00 pagi.
 
Esok, tepat waktu yang dijanjikan, Mat Nor tiba di kawasan hotel tersebut.  Empat kereta BMW berwarna hitam sudah menunggu. Mat Nor dipelawa masuk ke salah sebuah kereta tersebut.  Di hotel tersebut, seorang lelaki memberitahu dia diarahkan membawa Mat Nor menaiki kereta BMW ke Kuala Lumpur.  Kereta BMW yang dinaiki Mat Nor tiba di sebuah rumah ibadat di Kuala Lumpur. Mat Nor berasa pelik, mengapa pula dia dihantar ke rumah ibadat itu dengan jawatannya sebagai eksekutif pemasaran?
 
Sebaik turun, muncul seorang lelaki Melayu berjubah hitam menyambut kedatangannya.
 
“Salam sejahtera ke atas kamu,” sapa lelaki Melayu memakai jubah hitam itu.  Namanya Joseph. Berdasarkan penampilannya, Joseph orang kanan di rumah ibadat itu.  Semasa berjalan, Joseph menyelitkan sekeping sampul surat berwarna putih ke dalam kocek baju Mat Nor.
 
Mereka berdua masuk ke sebuah bangunan bersebelahan rumah ibadat tersebut. Sebaik sampai disebuah bilik, Joseph memberitahu di situlah Mat Nor akan tinggal sehingga tugasnya selesai.  Sebelum beredar, Joseph menerangkan Mat Nor boleh mandi dan bersolat di bilik tersebut. Pukul 2.30 nanti, dia akan datang semula.
 
Sebaik Joseph beredar, Mat Nor membuka sampul surat berwarna putih yang diberikan lelaki berjubah hitam itu. RM200!  Bisik Mat Nor.
 
Fikirannya bertambah keliru. Semalam di sebuah hotel Mat Nor sudah di beri RM200 oleh lelaki bernama Patrick.  Dan sekarang RM200 lagi. Dicampurkan RM50 semasa mula mula interviu, Mat Nor sudah ada RM450. Wang sudah dapat tapi anehnya tiada sebarang kerja dilakukan lagi. 
 
Tepat pukul  2.30 petang, pintu bilik Mat Nor diketuk. Joseph muncul di muka pintu. “Salam sejahtera ke atas kamu!” ucap Joseph sambil mengajaknya ke sebuah dewan. Dalam dewan tersebut, ada kira kira 20 orang lelaki berbaju labuh berwarna hitam. Di situ Joseph memberi penerangan tentang tugas yang bakal dilakukannya.
 
Bedasarkan penerangan Joseph, tugas Mat Nor bukan lagi eksekutif pemasaran tetapi sebagai penterjemah. Pada akhir penerangan, Joseph memberitahu Mat Nor dan tiga lagi calun dikehendaki menterjemahkan sebuah kitab agama daripada bahasa Indonesia ke bahasa Melayu.  Tetapi sebelum itu kata Joseph, ada tugas lain yang perlu dilakukan. Joseph lalu mengeluarkan sehelai kertas bertulis ayat ayat suci al-Quran di dalam jubah hitam  lalu membacanya.
 
“Kul Huallah Hu Ahad ….” Joseph membaca surah tersebut dengan fasih dan berlagu seperti seorang qari.  Bilik itu sepi seketika. Masing masing terpegun mendengarkan suara Joseph membaca surah al-Ikhlas.
 
“sekarang saya nak kamu ubahsuai surah al-Ikhlas ni.  Masukkan ayat tu dalam kitab ni,” beritahu Joseph menunjukkan sebuah kitab agama berbahasa Indonesia.  Sekali lagi, Mat Nor berasa serba salah. Kalau menolak tugas tersebut, dia mesti memulangkan semula wang RM450 yang diterimanya sebelum itu. Mahu tidak mahu, dia terpaksa lakukan juga tugas berat ini.
 
Tanpa berlengah, Mat Nor cuba menterjemahkan ayat  daripada surah al-Ikhlas seperti diminta Joseph. Sesi itu berlangsung hampir lima jam lamanya.  Beratus ratus ayat dikarang tetapi semuanya tidak menjadi.
 
“Ayat ini kalau dimasukkan juga ia akan bercanggah dengan akidah agama kamu yang menyatakan bahawa Tuhan itu lebih dari satu,” jelas Mat Nor. 
 
Joseph terdiam tanpa sepatah kata.  Kemudian dia menambah: “Tak mengapa. Cuba lagi. Nanti saya akan beritahu kepada ketu saya tentang perkara ini!”
 
Setelah percubaan pertama menterjemahkan surah al-Ikhlas itu gagal. Joseph menyuruh mereka berehat dulu dan menyambung kembali tugas tersebut esuk.  Sebelum bersurai, Joseph memberi sekeping lagi sampul surat berwarna putih. Apabila dibuka terdapat wang berjumlah, RM300 di dalamnya.
 
Malam itu Mat Nor tidak boleh tidur. Fikirannya masih lagi teringat pada tugasnya menterjemahkan surat al-Ikhlas pada siang tadi. Dia berasa hairan sudah beberapa kali dia mengikut kehendak Joseph, mencuba menterjemahkan ayat dari surah al-Iklas  tetapi gagal. Jika ditukar mana mana ayat sekalipun, ia tetap tidak boleh mengubah makna asal surah berkenaan.
 
Keesokannya, Mat Nor menyambung lagi tugasnya bersama tiga rakan rakan lain menterjemahkan surah al-Ikhlas.  Sesi menterjemah dan mengubah surah al-Ikhlas pada hari kedua juga gagal mendapat seberang keputusan muktamad.  Masing masing buntu. Tiada perkataan yang boleh digunakan untuk disesuaikan dengan ayat ayat di dalam kitab agama tersebut.
 
Hari berikutnya Mat Nor mencuba lagi tetapi tidak berjaya. Begitulah yang terjadi sehingga tugas itu berlangsung selama tiga minggu. Puas Mat Nor dan kawan kawan memikirkan cara untuk mengubahsuai surah al-Ikhlas tetapi sia sia.
 
Ayat yang diubah  itu tetap bercanggah dengan akidah tauhid agama orang kanan rumah ibadat itu.  Ini kerana secara keseluruhan ayat surah al-Ikhlas itu menegaskan bahawa Tuhan itu Esa, tidak sama dengan akidah orang kanan yang berjubah itu.  Setelah gagal mencuba pelbagai cara, Mat Nor mengesyorkan kepada orang kanan rumah ibadat  itu supaya mengubah keseluruhan surah tersebut.
 
“Kalau nak ubah, kena ubah semua!” beritahu Mat Nor.
 
“Okey, saya akan beritahu orang atas.  Tangguh dulu ubahsuai surah itu.  Tumpu terjemah kitab dari bahasa Indonesia ke bahasa Malaysia,” beritahu orang kanan rumah ibadat itu.
 
Kira kira setengah jam kemudian, orang kanan rumah ibadat itu kembali ke bilik tersebut.
 
“sesi untuk hari ini dah tamat. Semua boleh balik. Mat Nor, tugas awak pun dah habis. Lusa awak boleh balik,” beritahu orang kanan rumah ibadat itu.
 
Mat Nor lega mendengar pengumumam tersebut. Dia balik ke biliknya. Sekarang segala beban yang tertanggung di kepalanya selama ini sudah terlerai.  Sambil duduk di katilnya, Mat Nor mengeluarkan sampul sampul surat berwarna putih yang diterimanya sejak tiga minggu lalu. Dia mengira jumlah wang tersebut. RM4,650!
 
Tiba tiba Mat Nor mendengar biliknya diketuk.  Apabila pintu terbuka, dilihatnya Joseph sedang berdiri di depan pintu sambil tersenyum.  Joseph mengajak Mat Nor ke sebuah bilk kosong. Di situ, Joseph memaklumkan usaha mengubahsuai surah al-Ikhlas dihentkan serta merta.
 
“Program ini dihentikan atas arahan ketua paling atas,” beritahu Joseph.
 
Joseph turut memberi amaran agar jangan sesekali menceritakan perkara ini kepada orang lain.
 
“Ini rahsia besar. Tolong jangan hebahkan pada sesiapa,” tegas Joseph kepada Mat Nor.
 
Mat Nor  sudah mengagak dari awal, uasaha mengubah surah itu tidak akan berjaya. Kini dia bertambah yakin, memang ayat al-Quran tidak boleh diubahsuai dan keasliannya akan terpelihara sepanjang masa.  Sebelum balik ke kampungnya dia utara tanah air,  Mat Nor dipanggil sekali lagi oleh Joseph.
 
“Terima kasih kerana membantu kami. Inilah sedekah kami kepada kamu. Ambillah duit ini beberapa banyak yang Mat Nor nak”!  beritahu Joseph sambil menunjukkan sebuah kotak kecil yang penuh tersusun kepingan not RM50.
 
“Ambillah, jangan malu malu …..” pelawa Joseph.
 
Mat Nor teragak agak untuk mengambil wang tersebut tetapi setelah didesak beberapa kali, akhirnya dia mengalah. Tanpa melihat ke dalam kotak itu, Mat Nor mengambil secekak wang secara rambang.
 
“Cukup?” tanya Joseph.
 
Mat Nor mengangguk. Selepas itu dia dihantar pulang ke utara  dengan BMW yang sama semasa dibawa ke Kuala Lumpur, tiga minggu lalu. 
 
Sampai  dirumah, Mat Nor mengira duit yang diterimanya termasuk wang yang diambil dari kotak bersama Joseph, keseluruhannya sebanyak RM9,000! Itulah upah yang diterima untuk ubahsuai surah tersebut. Persoalannya mengapa mereka beria ia mahu mengubahsuai surah berkenaan?
 
“Saya pun tak tahu apa motif mereka sebenarnya. Bayangkan bilik saya menginap tu serba lengkap. Ada hawa dingin, tv, radio, katil, bilik mandi, almari, sejadah dan sebuah meja.  Di atas meja itu ada beberapa buah buku agama seperti fekah, tauhid, termasuk senaskah al-Quran. Semuanya baru. Siapa ada penunjuk arah kiblat lagi!
 
“Bila saya buka almari ada sepasang baju Melayu biru. Mulanya saya sangka baju tu milik orang lain yang pernah tinggal di bilik tu tapi rupa rupanya itu memang baju Melayu yang dibuat khas untuk saya. Bila saya pakai, muat muat aja.
 
“Begitu juga dengan sepasang kasut hitam di kaki almari. Bila saya cuba kasut  itu memang kena dengan saiz kaki saya. Tapi saya pelik juga, macamana mereka boleh tahu ukuran badan dan kaki saya dengan tepat, sedangkan saya tak pernah bagi ukuran badan mahupun saiz kasut kepada mereka. Bagaimana mereka tahu!” tanya Mat Nor.
 
Mat Nor memberitahu, selepas seminggu pulang ke rumah, pergerakannya sentiasa diekori dan dipantau orang orang dari rumah ibadat itu.  Setiap hari, ada sebuah kereta putih jenis proton akan parkir di tepi jalan tidak jauh dari rumahnya.  Apabila Mat Nor keluar ke bandar, dia juga terserempak dengan kereta yang sama. Apa tujuan mereka?
 
Sehingga hari ini Mat Nor masih tertanya tanya apakah masih wujud kegiatan seperti yang dialaminya 15 tahun yang lalu …….
 
MASTIKA Februari 2007 m/s 98 - 102

No comments:

Post a Comment